Johor umum cuti jika JDT juara

KOTA ISKANDAR – Kerajaan Johor tidak menolak kemungkinan mengumumkan Ahad ini sebagai cuti khas peristiwa di negeri itu, sekiranya pasukan bola sepak Johor Darul Takzim (JDT) menjuarai Piala Malaysia 2017, Sabtu ini.

Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani berkata langkah itu dibuat sebagai menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar serta menghargai kegigihan pasukan harimau selatan dalam usaha merangkul piala berprestij tersebut.



“Jika JDT berjaya meraih kemenangan, pengisytiharan itu adalah sebagai rakaman ucapan terima kasih kepada para pemain serta para penyokong yang telah berjaya membawa pulang kejuaraan tersebut buat pertama kalinya sejak 25 tahun.

“Ia juga sebagai menghargai sokongan padu rakyat Johor kepada pasukan JDT, sehingga membolehkan pasukan itu mencipta kejayaan demi kejayaan selama ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Katanya, titah Sultan Johor agar makluman awal diberikan kepada rakyat itu turut menzahirkan keprihatinan Tuanku bagi memudahkan mereka membuat persediaan awal dalam mengurus pekerjaan serta kegiatan harian lain memandangkan Ahad merupakan hari bekerja di Johor.

Azmi turut menyeru semua peminat sukan bola sepak Johor untuk turun beramai-ramai memenuhi Stadium Shah Alam pada Sabtu ini bagi memberikan sokongan padu kepada pasukan JDT.

“Marilah kita tunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi serta semangat kesukanan yang tinggi demi memastikan lakaran sejarah kejayaan pasukan kita dapat direalisasikan pada pertemuan akhir itu,” katanya.

Beliau turut menasihati para penyokong agar saling menghormati sesama peminat bola sepak yang lain.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/edisi/johor/johor-umum-cuti-jika-jdt-juara-1.751030



close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==